PETALING JAYA 4 Okt. – Ketua Penerangan Parti Perikatan Nasional (PN) Mohamed Azmin Alitidak akan bertanding sebarang jawatan tertinggi dalam pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027.
Azmin sebelum ini dilaporkan akan ditawarkan jawatan Setiausaha Agung oleh presiden parti, Muhyiddin Yassin susulan penyandang sekarang Hamzah Zainudin bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu bagaimanapun hanya akan mempertahankan Ketua Bahagian Gombak.
Sementara itu Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan bertanding jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selepas tidak lagi layak mempertahankan jawatan sekarang disebabkan melepasi had usia.
Ahli Parlimen Machang itu menang dalam pemilihan sebagai ketua sayap Bersatu pada 16 Ogos 2020 dan menjadi individu yang pertama menyandang jawatan melalui pemilihan parti sejak penubuhan Bersatu.
Turut menawarkan diri bagi mengisi 20 jawatan MPT adalah Ahli Parlimen termasuk Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Seri ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Azman Nasrudin (Padang Serai); Fathul Huzir Ayob (Gerik) dan Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok).
Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung pada 30 November hingga 1 Disember ini.
Nnn
