Joseph Kurup meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada usia 80 tahun.

Anak mendiang, Arthur yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam kemas kini di laman Facebooknya berkata “ Terima kasih bapa… Anda terbaik. Saya sayang awak sepenuh hati saya,”

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut memuat naik gambar mendiang bapanya, dengan tertera perkataan “selamanya di hati kami”.

Sebelum mengasaskan PBRS, Kurup mula berkecimpung dalam bidang politik pada 1985 dengan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) dan pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu 1986 dan 1990 dan sekali lagi dari 1994 hingga 1999.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook di atas tiket PBS pada 1985-1999 dan 2004, selain sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada 2003.

Mendiang bersara daripada politik pada Januari tahun lalu selepas memegang jawatan Presiden PBRS sejak penubuhan parti itu dan digantikan Arthur, 40, yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Ahli politik veteran itu memegang beberapa jawatan menteri di peringkat negeri sepanjang karier politiknya selama lebih empat dekad iaitu Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Jawatan terakhirnya di pusat adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan dan Integrasi Nasional) antara 2013 hingga 2018. Beliau tidak mempertahankan kerusi Pensiangan pada PRU 2018, untuk memberi laluan kepada Arthur.

Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Melinda Mak Soak Fong dan enam orang anak.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) dalam kemas kini di laman Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga atas pemergian Kurup.

“Semoga ahli keluarga tabah diatas pemergian ini. Salam Takziah daripada seluruh kepimpinan BN,” menurut kenyataan itu.

Dalam masa sama, pengendali Facebook Datuk Seri Najib Razak menyifatkan mendiang sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai.

“Sentiasa memperjuangkan kebajikan dan keperluan orang Sabah, mengutamakan parti BN. Semoga tabah menghadapi dugaan ini,” kata kenyataan itu lagi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment