TANJONG 14 April – Paras air di Empangan Air Itam di sini adalah pada 30.8 peratus, hampir mencapai tahap kritikal ketiga yang dijangka dapat bertahan selama 30 hari, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Katanya, paras kritikal pertama ialah apabila air empangan mencapai 50 peratus, tahap kritikal kedua 40 peratus dan tahap ketiga 30 peratus.
“Kita hampir mencapai tahap kritikal ketiga sekarang. Pada kadar ini, bekalan air dari Empangan Air Itam hanya boleh bertahan selama 30 hari,” katanya selepas menghadiri Karnival Raya yang dianjurkan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera di sini hari ini.
Beliau berkata, sejak awal bulan ini, kawasan tadahan Air Itam hanya menerima 22.5mm hujan mengakibatkan penurunan mendadak paras air di empangan Air Itam.
Kon Yeow berkata hujan diterima biasanya 300mm setiap bulan tetapi apa yang berlaku ketika ini sangat sedikit.
“Tetapi kerajaan jamin ada rancangan kecemasan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk meningkatkan paras air. Saya telah menghubungi PBAPP dan rancangan itu masih berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata bermula hari ini, PBAPP akan kembali kepada Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).
Pada 2 Februari lalu, PBAPP berkata sedang menyiapkan cadangan AIDAP 2024 kepada kerajaan negeri yang mungkin meningkatkan kapasiti berkesan empangan Air Itam dari 34.6 peratus kepada 50 peratus menjelang akhir April.
(Foto fail PBAPP)
