Bukti hubungan baik negeri, pusat

PASIR MAS 11 April – Pemberian wang ihsan RM58.6 juta minggu lalu membuktikan hubungan baik kerajaan Persekutuan dengan Kelantan sejak sekian lama, kata Menteri Besar, Mohd Nasuruddin Daud.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sentiasa membantu Kelantan dalam segala hal bukan sahaja soal wang ihsan.

“Hubungan kita (kerajaan negeri) dengan persekutuan baik dari dulu lagi, semua perkara boleh dibincang dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) beri jaminan bahawa beliau akan turut beri perhatian kepada Kelantan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu mengadakan Majlis Rumah Terbukanya di perkarangan Maahad Tahfiz Daril Ulum, di sini, hari ini.

Kelmarin, Kerajaan Persekutuan memaklumkan sudah menyalurkan wang ihsan berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu dan RM58.6 juta kepada Kelantan, minggu lepas bagi membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri.

Sambil mengucapkan terima kasih atas penyaluran wang ihsan itu, Mohd Nasuruddin berkata, bantuan itu dapat meringankan tanggungan kerajaan negeri untuk pembayaran gaji kakitangan awam di negeri ini.

“Biasanya wang ihsan diberi dua kali iaitu pada April dan hujung tahun jadi untuk April kita sudah terima. Wang ihsan ini biasanya Kerajaan Persekutuan beri untuk kita meringankan tanggungan bagi pembayaran gaji kerana kita bayar gaji sebanyak RM33 juta sebulan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment