Kebakaran hutan semakin pulih

KUANTAN 11 April – Kebakaran hutan berskala besar membabitkan tiga lokasi di negeri ini sejak akhir bulan lalu, semakin pulih dengan operasi pemadaman kini ditumpukan di kawasan Rompin, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa,.

Beliau berkata operasi memadam kebakaran hutan kawasan Jabatan Pertanian Inderapura membabitkan kira-kira 320 hektar hutan tanah gambut, ditamatkan Selasa lalu selepas lebih 10 hari pemadaman dilakukan.

Katanya, kebakaran hutan tanah gambut seluas 110.5 hektar di Gebeng juga semakin pulih apabila 99 peratus kebakaran berjaya dipadamkan, dan operasi pemadaman di kawasan terbabit dijangka ditamatkan hari ini sekiranya tiada kebakaran baharu berlaku.

“Di Rompin pula, hasil tinjauan udara yang dilakukan mendapati masih ada kebakaran tetapi tidak besar seperti sebelum ini. Kita akan menggunakan kaedah bom air dan ‘direct attac’ di kawasan itu, hari ini,” katanya kepada media.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai yang melakukan aktiviti memancing atau berburu, agar memadamkan puntung rokok atau unggun api dengan betul bagi memastikan tiada bara api kerana bahan kering seperti rumput dan daun mudah terbakar tanpa kawalan.

Wan Mohammad Zaidi juga memaklumkan sepanjang Januari lalu hingga kini, sebanyak 712 kes kebakaran terbuka direkodkan di Pahang, dengan 635 kes membabitkan belukar/lalang, hutan (42), sampah (28) dan kebun/ladang (7).

Related posts

Leave a Comment