Akmal beri keterangan lebih dua jam

KOTA KINABALU 5 April – Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh memberi keterangan lebih dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pagi ini, termasuk berkaitan ceramah beliau di Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata keterangan diberikan mengenai laporan polis berkait ceramah berkenaan dan tidak berkaitan dengan sebarang aktiviti atau perkara di Sabah.

“Saya di Sabah hari ini bagi menghadiri program Pergerakan Pemuda UMNO di Beaufort dan majlis berbuka puasa, ada kita adakan di negeri-negeri lain sebelum ini. Sebaik tiba di KKIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu) kira-kira 10.15 pagi tadi, saya diminta ke IPD Kota Kinabalu.

“Saya tidak diberitahu tidak boleh masuk ke Sabah, semua berkenaan isu di sana (Semenanjung). Saya sedia memberi kerjasama penuh untuk pihak polis menjalankan siasatan,” katanya selepas selesai memberi keterangan itu di sini hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata beliau dijadual memberikan keterangan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur esok, namun sedia memberikan kerjasama apabila pihak polis meminta beliau memberikan keterangan di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut beliau lagi, keterangan pertama telah mengambil masa dua jam bermula 10.40 pagi hingga 12.40 tengah hari, kemudian barulah dibenarkan untuk pulang.

“Namun selepas saya beri komen kepada media, penahanan saya dilanjutkan dan saya diminta untuk beri keterangan sekali lagi yang juga mengambil masa dua jam,” katanya yang dimaklumkan ia disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM di IPK Kota Kinabalu, kerana telah memberi layanan yang amat baik dan profesional sepanjang proses memberikan keterangan itu.

Mengulas lanjut, Dr Akmal menyatakan beliau sudah meneliti video terbabit dan merasakan setiap ungkapan yang dikeluarkan tiada unsur hasutan.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada siasatan pihak polis.

“Saya meneliti video itu dan rasa ungkapan yang telah dikeluarkan tiada unsur menghasut. Kita serahkan segala-galanya kepada siasatan polis. Kita sedia lawan di mahkamah sebab saya tidak pernah takut.

“Hal ini kerana setiap perkara yang kita bawa ini adalah suara kebenaran dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment