SEPANG 1 April – “ Kamu nak boikot klinik saya silakan,” Itu penegasan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, mengulas hasrat peguam Siti Kassim mahu memboikot kliniknya sama seperti tindakan boikot KK Mart.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu berkata, beliau percaya rezeki itu milik Allah dan pendiriannya untuk boikot KK Mart tidak berubah.
“Geng Siti Kasim nak buat boikot pada klinik saya sebab tak puas hati apabila kita lancarkan boikot KK Mart. Suka hati kamu lah,saya percaya rezeki itu milik Allah,” katanya melalui hantaran di Facebooknya.
Beliau juga mempelawa Siti Kassim datang ke Merlimau dan bertanyakan orang Merlimau terlebih dahulu sebelum berhasrat memboikot kliniknya.
Bulan lalu, Dr Muhamad Akmal membidas peguam Siti Kassim yang menuduhnya mahu menjadi hero dalam isu kalimah Allah pada stoking, dengan menyatakan bahawa beliau bertindak demikian berikutan agamanya dihina.
Tegasnya, beliau bukan mahu menjadi seorang hero, namun hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
Terdahulu, Siti Kasim dilaporkan berkata, Dr Muhamad Akmal tidak mewakili masyarakat Melayu dan pendiriannya itu hanyalah berkepentingan politik yang bertujuan meraih sokongan orang Melayu Islam kepada UMNO.
