KUALA LUMPUR 1 April – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, menumpukan usaha memerangi rasuah secara habis-habisan di negara ini.
Titah Seri Paduka, memerangi ancaman rasuah sebagai musuh nombor satu negara adalah antara tumpuan utama dalam pemerintahan baginda.
“Sebagaimana saya tegaskan sebelum ini, My honeymoon is over, now go catch the bees,” titah Seri Paduka ketika berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM itu di Istana Negara pagi ini.
Dalam hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit, menyaksikan Azam mempersembahkan mengenai perkembangan terkini agensi penguatkuasaan itu kepada Seri Paduka.
Dalam pertemuan itu, baginda turut berkenan mengurniakan sebekas madu lebah kepada Azam.
Pada 19 Mac lalu, Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan memulakan cara pemerintahan yang sebenar selepas tempoh ‘bulan madu’ tamat apabila genap dua bulan baginda memegang tampuk pemerintahan negara.
Ketika itu, Seri Paduka menegaskan yang baginda memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara.
“Saya bukan patung untuk disembah atau dijadikan perhiasan dalam majlis atau dipaksa mengikut segala kata dan kehendak menteri.
“Kurang dari dua minggu lagi, akan genap dua bulan saya memegang tampuk Ketua Negara. Apabila habis tempoh “bulan madu” ini…, saya akan mulakan cara pemerintahan saya yang sebenar,” titah Seri Paduka Baginda.
Nnn
