Analisa data PADU pertengahan April

PUTRAJAYA 1 April – Analisa data dan pengesahan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka dapat dikeluarkan pertengahan bulan ini, kata Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin.

Dalam kenyataan di X, Uzir berkata proses untuk pengemaskinian sistem PADU telah berakhir pukul  11.59 malam tadi, 31 Mac selepas dilancarkan sejak 2 Januari lalu.

Menurut  kenyataan itu, bagi mereka yang belum berkesempatan mendaftar pada tarikh tutup, maka data pentadbiran yang diterima daripada pelbagai agensi akan digunakan dahulu dalam proses penganalisaan yang dilaksanakan.

Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 10.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar PADU yang mana jumlah itu merangkumi 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 21.96 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas.

Antara negeri tertinggi jumlah pendaftaran PADU ialah Perlis, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan telah melepasi sasaran 50 peratus.

Uzir ketika lawatan di Seksyen 22 Petaling Jaya semalam berkata, sejak sistem PADU dilancarkan pada 2 Januari lepas, sistem berkenaan terus berfungsi tanpa gangguan atau downtime biarpun berdepan aliran trafik pendaftaran yang tinggi.

Katanya, data yang disimpan dalam sistem PADU akan memudahkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membuat analisis dan bancian bagi memudahkan penyaluran bantuan kerajaan selain membantu kerajaan memperkenalkan polisi yang sesuai dengan keperluan rakyat.

Nnn

Related posts

Leave a Comment