Sasaran 10,000 EV dibincang selepas raya

PASIR SALAK 1 April – Keputusan semakan terhadap sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) beroperasi di negara ini menjelang 2025 hanya akan diketahui selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perbincangan awal bersama penggiat industri dan syarikat pemasangan stesen pengecas awam EV telah diadakan manakala mesyuarat Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) dijadualkan selepas hari raya.

Katanya, setakat ini, terdapat 2,020 unit stesen EV yang sudah beroperasi secara rasmi dan secara tidak rasmi 2,100 unit.

Bercakap pada Majlis Ihya’ Ramadan dan Iftar Perdana di pekarangan Masjid Jamek Al Ansar, Bandar Baru FELCRA Seberang Perak, di sini, beliau berkata penggiat industri dan syarikat pemasangan stesen pengecas awam EV yakin sasaran 10,000 stesen EV menjelang 2025 dapat direalisasikan.

“Seperti diumumkan sebelum ini, sasarannya 10,000 (stesen pengecas EV) bagi akhir tahun 2025, oleh itu kita kena membuat perancangan yang rapi.

“Kalau tak boleh capai 10,000 itu, kita kena buat sasaran lebih realistik, tapi nampaknya perbincangan saya bersama pihak pemasangan stesen pengecas ini, mereka masih yakin kerana dapat lihat permintaan tinggi, jadi berani sikit nak buat stesen pengecas itu.

“Saya sedang cuba pastikan sasaran itu dapat kita capai,” katanya.

Pada 20 Mac lalu, Tengku Zafrul dilaporkan berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meneliti semula sasaran 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025 menerusi mesyuarat NEVSC.

Sasaran awal itu berpandukan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Nnn

Related posts

Leave a Comment