AMK gesa Akmal ambil tanggungjawab

KUALA LUMPUR 1 April –  Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh, mengambil tanggungjawab atas apa yang didakwa ‘ketegangan’ masyarakat kesan kempen boikot yang dilancarkan oleh Pemuda UMNO terhadap kedai serbaneka KK Mart.

Ketua Penerangan AMK, Nabil Halimi, dalam satu kenyataan hari ini, berkata seorang pemimpin politik harus meredakan ketegangan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

“Sudah kami tegaskan sebelum ini bahawa, seorang pemimpin politik harus meredakan suhu api ketegangan kaum dalam masyarakat kita yang majmuk dan bukan sebaliknya.

“Namun, Dr Akmal seolah-olah masih berdegil dan sehingga kini beliau masih berdalih dan tidak mengakui kesan disebabkan keghairahan dan keterlanjurannya dalam isu ini,” katanya.

Nabil berkata, agama Islam harus ditegakkan dengan hikmah dan bukannya dengan kemarahan yang berlebihan.

“Janganlah kerana sikap melampau kamu, negara ini binasa,” katanya

Beliau berkata, pemimpin muda harus radikal menjadi penyatu idealisme bangsa Malaysia dan bukannya menjadi pemecah fabrik sosial negara ini yang sudah dibina dengan asas kukuh.

“Justeru, AMK menyeru seluruh masyarakat untuk kekal bertenang serta beri ruang dan kepercayaan yang sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mereka dalam menyelesaikan kes ini.

“Kekalkan keamanan dan kerukunan hidup aman damai yang sekian lama sudah menjadi asas dan kekuatan negara kita yang berbilang bangsa,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment