Ada nelayan ambil dadah sebelum ke laut

PASIR PUTEH 30 Mac –  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendedahkan terdapat segelintir nelayan di negeri ini menyalahgunakan dadah dipercayai bagi mendapatkan tenaga sebelum turun ke laut untuk menangkap ikan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Amiludin Yenggah berkata, tindakan itu dikesan  hasil operasi bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau memberitahu, sepanjang tahun ini bermula Januari hingga Mac, pihaknya  menahan 11 nelayan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Hasil ujian air kencing dilakukan, 11 nelayan positif dadah methamphetamine,” katanya pada sidang media ketika melakukan tinjauan di perairan negara, sempena Ramadan di sini, malam tadi.

Menurut beliau, kesemua nelayan berusia antara 20 hingga 40 tahun yang ditahan menerusi operasi tersebut terlibat dengan penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.

Katanya Martim Malaysia Kelantan tidak menolak kemungkinan nelayan terlibat memperoleh dadah daripada pengedar yang membekalkan bahan itu kepada mereka.

Amiludin memberitahu, pihaknya akan terus komited untuk menjalankan pemeriksaan bagi mengesan sejauh mana tahap keseriusan pengambilan dadah dalam kalangan nelayan.

Dalam perkembangan lain, sepanjang tiga bulan tahun ini, Maritim Malaysia berjaya melakukan 29 tangkapan membabitkan nilai rampasan RM6.5 juta, kebanyakan kes  membabitkan nelayan warga asing yang menceroboh perairan negara.

Beliau berkata pihaknya akan terus memperketatkan kawalan di perairan negara sepanjang Ramadan dan Aidilfitri dengan menempatkan aset Maritim Malaysia.

Related posts

Leave a Comment