Bantu bangunkan semula Gaza

SHAH ALAM 29 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, melancarkan Tabung Pembangunan Ehsan Selangor-Gaza sebagai inisiatif kerajaan negeri bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bagi membantu membangunkan semula Gaza.

Pembangunan itu akan melibatkan tiga projek pembangunan di atas tanah wakaf yang memerlukan dana berjumlah RM8.7 juta iaitu pembinaan satu blok Apartment Darul Ehsan (RM3 juta), Masjid Darul Ehsan (RM4 juta) dan Menara Tangki Air Darul Ehsan (RM1.7 juta).

Baginda berkenan melancarkan tabung itu pada Majlis Perasmian Masjid & Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1445H dan Sambutan Nuzul Al-Quran, di Masjid Kota Kemuning di sini semalam.

Sultan Sharafuddin turut berkenan menerima sumbangan dana RM1.2 juta daripada umat Islam di Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) RM200,000, dan sumbangan peribadi Menteri Besar Selangor sebanyak RM50,000 untuk disalurkan ke tabung itu.

Justeru, baginda menyeru rakyat dan semua pihak di Selangor untuk sama-sama membantu meringankan penderitaan dan keperitan penduduk Gaza dengan memberi sumbangan bagi membangunkan kembali prasarana yang musnah akibat serangan tentera Zionis di Gaza.

Baginda juga sudah menitahkan pengumpulan dan penyaluran sumbangan ini dibuat serta diselaraskan menerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) melalui akaun Maybank Islamic Berhad (562106718620) supaya pengurusan serta pengelolaan dana dibuat secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

“Beta mendoakan semoga Allah SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan oleh rakyat Selangor untuk membantu umat Islam di Gaza,” titah baginda, menurut satu kenyataan.

Sementara itu, Masjid Kota Kemuning siap dibina pada bulan November 2022 dengan kos RM18 juta dan mampu memuatkan 4,000 jemaah pada satu-satu masa.

Related posts

Leave a Comment