PM terima vaksin 24 Februari

SEPANG 21 Feb. – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diawalkan dari tarikh yang ditetapkan pada 26 Februari apabila Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan pertama vaksin pada 24 Februari di Klinik Kesihatan Putrajaya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata turut akan menerima suntikan pada hari sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata, Perdana Menteri akan menerima suntikan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, setakat ini 271,802 petugas barisan hadapan berdaftar untuk menerima vaksin pada fasa pertama di mana 57.3 peratus  adalah anggota perubatan dan kesihatan, manakala 42.7 peratus lagi anggota bukan kesihatan.

“Ia termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Rela, pegawai Penjara; Kastam; Jabatan Kesihatan; serta Bomba,” katanya dalam sidang media selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin Covid-19.

Menurut Khairy, Vaksin yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara. Ia termasuk penghantaran kenderaan darat dari Singapura ke Johor yang dijadual tiba di PSV pada pukul 2 petang ini.

Selain itu, vaksin turut diterbangkan ke PSV di Pulau Pinang yang mana ia dijangka tiba pada pukul 6 petang.

Khairy berkata, Malaysia dijangka menerima penghantaran kedua vaksin itu pada 26 Februari ini seterusnya setiap dua minggu akan menerima (bekalan vaksin Pfizer) sehinggalah menerima keseluruhan tempahan daripada PFizer.

Ini untuk Pfizer sahaja, ia belum lagi kita umumkan untuk vaksin-vaksin lain.

“Pada 27 Februari, kita terima kumpulan pertama daripada Sinovac. Itu akan kita bawa ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai,” katanya.

Related posts

Leave a Comment