PUTRAJAYA 22 Mac – Kerajaan membenarkan pengusaha bas ekspres mengenakan surcaj 10 peratus sempena perayaan Aidilfitri ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Katanya, kerajaan membenarkan surcaj itu sejak 20 tahun lalu seminggu sebelum dan seminggu selepas perayaan.
Ia bertujuan membantu pengusaha menambah kapasiti bas dengan menyewa bas tambahan dan membayar elaun serta bayaran tambahan kepada pekerja.
“Sekiranya terdapat syarikat atau pengusaha yang mengenakan lebih daripada 10 peratus, aduan boleh dibuat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan siasatan akan diadakan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.
APAD sebelum ini memaklumkan kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi mengalami kenaikan 10 peratus mulai 4 hingga 17 April ini.
Katanya, Jemaah Menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer dan pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori berkenaan kepada RM0.102 sekilometer, berbanding kadar tambang biasa RM0.093 sekilometer.
Loke juga memaklumkan, kementeriannya sudah menetapkan larangan untuk kenderaan berat menggunakan jalan raya khususnya lebuh raya dua hari sebelum sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 9 April ini.
Katanya, larangan juga membabitkan dua hari selepas sambutan Aidilfitri pada Jumaat dan Sabtu iaitu pada 12 dan 13 April.
