PM Ireland letak jawatan

DUBLIN: Perdana Menteri Ireland dan ketua parti Fine Gael, Leo Varadkar mengumumkan peletakan jawatan dengan menyatakan alasan `peribadi dan politik’ sebagai punca berbuat demikian.

Tindakannya itu disifatkan sebagai langkah mengejut atau ‘gempa politik’ , hanya 10 minggu sebelum Ireland mengadakan pilihan raya tempatan dan Parlimen Eropah.

Varadkar yang menjawat jawatan Perdana Menteri pada usia 45 tahun dan kekal sebagai seorang pemimpin termuda Ireland, berkata dia merasakan bukan lagi `orang terbaik’ untuk memimpin negara.

Ahli politik adalah manusia. Kami mempunyai batasan. Kami memberikan segala-galanya sehingga kami tidak mampu lagi dan kemudian kami perlu berubah,” katanya sambil percaya kerajaan boleh dipilih semula.

Varadkar percaya Perdana Menteri baharu akan lebih bagus berbanding dirinya untuk mencapai, memperbaharui dan mengukuhkan pasukan teratas, sekali gus memfokus semula mesej dan dasar serta memacu pelaksanaan.

“Selepas tujuh tahun memegang jawatan, saya bukan lagi orang terbaik untuk kerja itu. Saya meletakkan jawatan sebagai presiden dalam kepimpinan Parti Fine Gael serta jawatan sebagai Perdana Menteri sebaik pengganti saya dilantik.

“Alasan saya berundur sekarang adalah peribadi dan politik, tetapi ia lebih kepada politik,” katanya.

Awal bulan ini, Varadkar dipersalahkan secara meluas atas kekalahan berganda termasuk membabitkan referendum terbesar yang pernah berlaku oleh kerajaan berkaitan cadangan untuk reformasi kepada wanita, keluarga dan penjagaan dalam perlembagaan Ireland.

Varadkar berkata, partinya yang berhaluan kanan tengah, Fine Gael akan mengadakan pemilihan kepemimpinan  dan beliau akan kekal sebagai perdana menteri sehingga pemimpin baharu itu dipilih dan selepas Parlimen kembali dari rehat bulan depan.

Related posts

Leave a Comment