SINGAPURA 16 Mac – Cuaca kering dan panas diramalkan berterusan untuk beberapa hari pertama pada dua minggu akan datang di mana suhu maksimum harian dijangka melebihi 35 darjah Celsius pada sejumlah hari.
Dalam kebanyakan hari, suhu maksimum harian diramal antara 34 hingga 35 darjah Celsius.
Khidmat Meteorologi Singapura (MSS) dalam kenyataan memberitahu, hujan berserta guruh pada kadar sederhana diramalkan pada beberapa hari di sebelah petang, terutama pada minggu terakhir Mac.
Menurut MSS, jumlah curahan hujan bagi baki bulan ini dijangka bawah purata di seluruh negara.
Dalam penilaiannya terhadap cuaca pada separuh pertama Mac, agensi cuaca itu menyatakan hujan lebat dijangkakan di hampir seluruh negara pada kebanyakan petang.
MSS menyatakan, kebanyakan kawasan di Singapura mencatatkan curahan hujan lebih daripada purata pada dua minggu pertama Mac 2024.
Changi mencatatkan curahan hujan 135 peratus lebih tinggi daripada purata, dan Mandai mencatatkan curahan hujan sebanyak 34 peratus di bawah purata.
Pada tempoh tersebut, suhu harian maksimum adalah antara 31.6 hingga 36 darjah Celsius, dengan suhu tertinggi iaitu 36 darjah Celsius dicatatkan di Pulau Sentosa pada 13 Mac.
