China dakwa AS tindas TikTok

BEIJING: China mendakwa Amerika Syarikat (AS) menindas TikTok susulan tindakan Dewan Perwakilan negara itu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) dengan undi 352-65 yang boleh mengharamkan aplikasi itu.

RUU itu akan memberi pemilik TikTok, ByteDance, kira-kira enam bulan untuk menjual aset syarikat itu kepada pelabur di AS, sekali gus memutuskan kaitan dengan kerajaan China, atau berdepan pengharaman.

RUU itu diluluskan dengan 15 undi dari parti Republikan selain 50 undi dari parti Demokrat.

Menurut jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, pada hakikatnya AS ‘tidak pernah menemui bukti bahawa TikTok mengancam keselamatan negara’.

“Tingkah laku membuli seperti ini tidak boleh menang dalam persaingan yang adil dan mengganggu aktiviti perniagaan biasa syarikat.

Ia juga merosakkan keyakinan pelabur antarabangsa dalam persekitaran pelaburan, dan merosakkan aturan ekonomi serta perdagangan antarabangsa yang normal yang akhirnya akan kembali ‘menggigit AS’ sendiri.

TikTok dimiliki oleh firma berdaftar Kepulauan Cayman yang berpangkalan di Beijing, Byte Dance.

Jika RUU AS itu menjadi undang-undang, ByteDance akan dikehendaki menjual TikTok dalam tempoh enam bulan atau menghadapi larangan daripada gedung aplikasi AS dan platform pemilikan laman sesawang.

Minggu lalu, TikTok mengedarkan mesej kepada pengguna di pasaran AS, menggesa mereka memanggil wakil rakyat masing-masing untuk menghalang kerajaan daripada melucutkan ‘170 juta rakyat AS hak Perlembagaan mereka untuk bebas bersuara’.

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi, berkata sekiranya pengharaman aplikasi itu dilaksanakan di AS, penghasil kandungan dan perniagaan kecil akan kerugian berbilion dolar selain mengancam kerjaya lebih 300,000 penduduk AS.

Katanya, TikTok tidak akan berhenti memperjuangkan hak untuk memastikan aplikasi itu tidak diharamkan.

TikTok menafikan ia mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan China dan berkata ia sudah melakukan penstrukturan semula syarikat itu untuk menyimpan data AS di negara itu.

Pada Mei tahun lalu, Montana menjadi negeri pertama di AS mengharamkan aplikasi media sosial TikTok.

Gabenor Republikan, Greg Gianforte, menandatangani RUU mendakwa langkah itu untuk melindungi data peribadi penduduk Montana daripada Parti Komunis China (CCP).

Related posts

Leave a Comment