Virus H5N1 merebak lebih agresif

SAO PAULO: Virus selesema burung H5N1 yang boleh membawa maut telah merebak dengan lebih agresif dalam kalangan burung liar dan mamalia marin sejak tiba di Amerika Selatan pada 2022, meningkatkan risiko dan ancaman yang lebih besar kepada manusia.

Menurut saintis, kebimbangan berkenaan menjadi lebih besar kerana virus berkenaan sebelum ini hanya dijangkiti dalam kalangan burung, namun kini ia telah merebak menjangkiti mamalia.

Virus jenis itu turut membunuh sekumpulan ikan lumba-lumba di Chile dan Peru dan kira-kira 50,000 anjing laut dan singa laut di sepanjang pantai, dan sekurang-kurangnya setengah juta burung di seluruh wilayah berkenaan terbunuh.

Bagi pengesahan jangkitan mamalia ke mamalia, saintis mungkin perlu menguji jangkitan pada haiwan hidup.

Saintis berkata, situasi itu telah muncul dalam berpuluh-puluh spesies burung, termasuk beberapa spesies yang berhijrah dan yang boleh menyebarkannya ke luar kawasan berkenaan.

Apabila perubahan iklim semakin meningkat, haiwan akan dipaksa untuk berpindah ke kawasan baharu, bercampur antara satu sama lain dengan cara baharu dan mungkin meningkatkan peluang untuk virus itu terus bermutasi.

Kebimbangan yang semakin meningkat itu telah mendorong 35 negara dalam Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) untuk memanggil pakar dan pegawai kesihatan serantau pada mesyuarat minggu ini di Rio de Janeiro.

Sejak virus itu pertama kali dikesan di Colombia pada Oktober 2022, terdapat dua kes yang dikesan pada manusia di benua itu, masing-masing satu di Ecuador dan Chile.

Related posts

Leave a Comment