Dobi layan diri perlu patuh SOP

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Kerajaan bersetuju membenarkan kedai dobi layan diri beroperasi di negeri-negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, premis perlu menyediakan pekerja untuk mengawal dan mengawasi pelanggan.

Katanya, pemilik premis juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) termasuk melakukan saringan suhu badan pelanggan, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup muka, menyediakan cecair pembasmi kuman, memastikan penjarakan fizikal dan tidak bersesak.

Waktu operasi kedai dobi layan diri bermula dari pukul 6 pagi sehingga 8 malam.

Beliau berkata, ramai yang mengadu terutamanya golongan bujang yang mengatakan mereka sangat memerlukan dobi layan diri kerana tiada siapa yang membasuh pakaian, lebih-lebih lagi sekarang  musim hujan dan kedai dobi layan diri boleh mengeringkan pakaian.

“Alasan kita (untuk tidak benarkan kedai dobi layan diri beroperasi sebelum ini) adalah kerana tiada pengawalan. Jadi kita takut pelanggaran SOP dan akhirnya berlaku penyebaran virus Covid-19.

“Setelah meneliti permohonan dan rungutan, akhirnya hari ini kita bersetuju dobi layan diri beroperasi,” katanya dalam sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan sentiasa memantau operasi kedai tersebut.

Tegasnya, jika terdapat mana-mana pemilik premis yang ingkar arahan yang ditetapkan, operasi kedai tersebut akan dihentikan.

Related posts

Leave a Comment