2.1 juta pekerja asing didaftar Imigresen

KUALA LUMPUR 13 Mac – Sebanyak 2,123,049 pekerja asing aktif didaftarkan Jabatan Imigresen sehingga 15 Februari lalu, yang meliputi lima negara tertinggi iaitu Bangladesh, Indonesia, Nepal, Myanmar dan India.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata warga asing yang masuk ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah adalah satu kesalahan dan melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1956/63.

Beliau berkata pekerja asing yang tidak memenuhi syarat-syarat pas dan melakukan sebarang kesalahan imigresen bertentangan dengan peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Katanya, dalam memastikan keselamatan negara diutamakan, Imigresen melaksanakan operasi penguatkuasaan bersepadu secara berterusan serta tindakan pencegahan bagi mengelakkan peningkatan jumlah PATI di negara ini.

Imigresen memberi tumpuan kepada 220 lokasi “hotspot” yang menjadi tumpuan warga asing dan seterusnya menjalankan operasi secara bersepadu dengan kerjasama agensi penguat kuasa terutama Polis Diraja Malaysia.

Beliau menjelaskan demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong), bertanyakan anggaran jumlah warga asing sama ada tanpa izin atau pelarian atau yang tidak memiliki permit bekerja yang sedang berada di Malaysia dan langkah kerajaan untuk menangani isu berkenaan.

Saifuddin juga menjelaskan, pekerja asing hanya dibenarkan bekerja di sektor yang dibenarkan antaranya perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan kuari di bawah kelulusan kuota yang ditetapkan.

Katanya, Imigresen mengambil beberapa langkah dan inisiatif bagi membendung kebanjiran PATI di negara ini, antaranya melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Imigresen turut memperketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu-pintu masuk ke negara dan pelawat asing ke negara ini diwajibkan mempunyai tiket pulang ke negara asal mereka.

Katanya, operasi berterusan menyaksikan seramai 22,671 PATI ditahan pada 2020, manakala 12,462 PATI (2021), 22,804 PATI (2022) dan 27,739 PATI pada 2023 manakala setakat 15 Februari lalu, Imigresen menahan seramai 6,306 PATI.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment