WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengumumkan penghantaran pakej senjata kecemasan bernilai AS$300 juta (RM1.4 bilion) untuk menyokong Ukraine menentang pencerobohan Russia.
Penghantaran itu tetap dibuat walaupun Kongres menyekat bantuan lanjut, manakala pemimpin Poland yang melawat Rumah Putih memberi amaran mengenai ancaman yang semakin meningkat dari Russia terhadap keseluruhan Eropah.
Biden berkata, penghantaran sistem sekatan peluru berpandu, dan peluru untuk Kyiv ‘tidak mencukupi’ serta akan habis dalam tempoh beberapa minggu, mengakibatkan Ukraine dapat dikalahkan tentera penceroboh Presiden Russia, Vladimir Putin.
Demokrat menggesa Republikan berhenti menyekat pakej bantuannya yang lebih besar iaitu AS$60 bilion (RM280.6 bilion) untuk Ukraine, yang tersekat akibat pertarungan sengit partisan menjelang pilihan raya semula Presiden AS.
“Russia tidak akan berhenti di Ukraine, Putin akan meneruskan tindakan, meletakkan Eropah, AS dan seluruh dunia bebas dalam risiko,” kata Biden dalam pertemuan bersama Presiden Poland, Andrzej Duda dan Perdana Menteri Poland, Donald Tusk di Rumah Putih.
Rumah Putih berkata bantuan AS$300 juta (RM1.4 bilion) itu, yang pertama sejak Disember, mungkin menggunakan wang Pentagon untuk pembelian lain, sekali gus membolehkan Biden memintas kelulusan Dewan Perwakilan yang dikawal Republikan.
Penasihat Keselamatan Negara Rumah Putih, Jake Sullivan, berkata peperangan Ukraine kini dalam fasa paling berbahaya sejak pencerobohan Russia pada Februari 2022.
Sullivan berkata, bantuan kecemasan AS$300 juta (RM1.4 bilion) itu ‘tidak cukup’ untuk memenuhi keperluan medan perang Ukraine dan ia tidak akan menghalang Ukraine daripada kehabisan peluru dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurut Pentagon, penghantaran bantuan senjata itu merangkumi roket jarak jauh HIMARS buatan AS, senjata antipesawat dan antikereta kebal, peluru artileri serta peluru senjata kecil.
Sementara itu, Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), William Burns, berkata Ukraine tidak mungkin hilang semangat juang, tetapi mereka akan kehabisan peluru dan “kita kesuntukan masa untuk membantu mereka,”
Nnn
