KOTA KINABALU 10 Mac – Sebarang tuntutan pihak luar ke atas wilayah Sabah oleh mana-mana kumpulan disifatkan sebagai cubaan untuk menggugat keamanan negeri dan mengancam kedaulatan negara, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.
Justeru kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan termasuk yang terbaharu oleh kumpulan serpihan Sulu yang menamakan diri sebagai United Tausug Citizens (UTC).
Katanya, cubaan dilakukan oleh kumpulan yang mendakwa sebagai penjaga sah wilayah Kesultanan Sulu itu sama seperti mempersoalkan kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh Kerajaan Negeri mahupun rakyat.
Malah, tuntutan pihak mendakwa pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu sebelum ini berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa.
Hajiji dalam kenyataannya berkata, kerajaan negeri menghargai pendirian kukuh Kerajaan Persekutuan tidak melayan dakwaan kumpulan terbabit dan yakin Sabah juga mendapat sokongan masyarakat global.
Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata Malaysia menolak semua tuntutan ke atas Sabah termasuk kes terbaharu membabitkan sebuah kumpulan yang menamakan diri sebagai United Tausug Citizens People of The Sultanate of Sulu (UTC).
Kumpulan yang mendakwa penjaga sah wilayah Kesultanan Sulu itu mengemukakan dua tuntutan tidak berasas kepada kerajaan Malaysia iaitu meminta kerajaan membayar segera wang penyerahan (Cession Money) sebanyak AS$15 bilion dan mengiktiraf UTC sebagai sebuah kerajaan merdeka dan berdaulat.
Kumpulan itu juga, katanya mengancam untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Malaysia di Amerika Syarikat.
“Ini cubaan terbaharu yang tidak berasas oleh sebuah kumpulan untuk menuntut kedaulatan wilayah Malaysia dan untuk memeras ugut bayaran yang tidak berasas daripada Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, Malaysia bersedia untuk membela diri jika ada pihak luar membuat tuntutan terhadap kedaulatan wilayah negara ini khususnya Sabah.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta menteri bertanggungjawab hal ehwal Sabah dan Sarawak percaya pihak terbabit akan terus mencari peluang bagi membuat tuntutan meskipun mereka kalah sebelum ini.
“Sebelum ini kita (Kerajaan Malaysia) menang dalam tuntutan yang dibuat di tribunal di Sepanyol dan Perancis.Tetapi mereka tidak akan berhenti sebaliknya akan pergi seluruh dunia mencari apa sahaja peluang untuk membuat tuntutan,” katanya selepas Program Fajr & Run Subuh Macam Jumaat di Masjid Al-Quddus, Taman Sri Wangi, Kuching hari ini..
Fadillah berkata, melihat kepada tuntutan berterusan, beliau percaya ada pihak yang membiayai kumpulan terbabit.
“Mereka sudah kalah di negara tertentu dan mencuba pula di negara lain. Kita tidak akan membiarkan mereka dan insya-Allah kita akan menang dari sudut perundangan,” katanya.
Nnnm
