Wira Putra sokong PRK 7 Parlimen 1 DUN

KUALA LUMPUR 10 Mac –  Wira Putra menyokong cabaran Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengisytiharkan enam kerusi anggota Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri dikosongkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, inilah masanya Anwar menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia Madani kerajaan yang syumul dan mendapat sokongan rakyat.

Pada masa yang sama Anwar juga boleh membuktikan bahawa pendapat Muhyiddin meleset apabila mendakwa Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas Perdana Menteri itu boleh menang besar sekiranya PRK diadakan di bawah pentadbiran PH-BN.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, kerajaan Madani boleh membuktikan bahawa mereka adalah kerajaan yang benar-benar pilihan rakyat dan mengangkat ketinggian undang-undang “Rule of Law”

“Melainkan kerajaan Madani pimpinan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan sekutunya hanya sekadar retorik, masih mahu menyekat kebebasan rakyat untuk membuat pilihan dan mengamalkan demokrasi mati,” katanya

Beliau berkata, Akta Lompat Parti bertujuan menghalang Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada menyalahguna proses demokrasi dan mengkhianati mandat rakyat.

“Alasan menyokong Perdana Menteri dan Menteri Besar berlainan parti kerana mahu menjaga rakyat dan demi negara adalah tidak munasabah dan tidak berasas. Untuk apa mereka beralih sokongan? Untuk dapatkan dana pembangunan dan aktiviti di kawasan?

“Rakyat juga boleh menilai bahawa ahli Parlimen yang terlibat benar-benar jujur atau ada agenda yang lain. Mengalih sokongan kepada pemimpin berlainan parti adalah sama niat dan tujuan seperti melompat parti,” katanya.

Justeru sekiranya mereka benar-benar jujur, kerusi yang dimenangi atas tiket PN perlu dikosongkan secara sukarela dan mengembalikan semula kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan.

Semalam Muhyiddin dalam ucapan di Konvensyen Wakil Rakyat PN mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kosong selepas wakil rakyat Bersatu menyokong Kerajaan Perpaduan.

Enam Ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor.

Anwar dalam reaksinya bagaimanapun menyifatkan Muhyiddin tidak layak mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN milik wakil Bersatu yang menyokong kerajaan.

Perdana Menteri menjelaskan keputusan sama ada pengosongan kerusi itu sepatutnya dibuat individu yang mewakili semua kerusi berkenaan.

Anwar yang turut menyifatkan Muhyiddin ‘pakar lompat’ berkata, Presiden Bersatu itu tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenainya termasuk mencabar Kerajaan Perpaduan yang mendapat sokongan wakil rakyat terbabit.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment