TH sahkan pendeposit mangsa penipuan

KUALA LUMPUR 6 Mac – Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan seorang pendepositnya menjadi mangsa penipuan (scammer) dengan sejumlah RM12,000 dipindahkan melalui lima transaksi dalam tempoh empat hari.

Susulan itu,  bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar, TH mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun mangsa, tiga hari sebelum aduan mangsa dibuat setelah TH mendapati terdapat transaksi yang mencurigakan.

“TH juga sedang melakukan siasatan berhubung kejadian itu malah mangsa juga sudah membuat laporan polis dan TH akan sentiasa bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber itu.

TH sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang bilal masjid kehilangan wang berjumlah RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya didakwa dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan.

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari TH menyatakan terdapat pemindahan wang membabitkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain, iaitu sebanyak RM3,000 pada 20 Februari dan dua kali transaksi berjumlah RM1,000 dan RM2,000 pada 21 Februari.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Venus mengesahkan mangsa membuat laporan pada 26 Februari lalu,

Dalam pada itu, TH turut menegaskan, platfom dalam talian THiJARI dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.

“Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi, serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi itu disambung ke laman web rasmi THiJARI,” kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-6207 1919.

Nnn

Related posts

Leave a Comment