Hadi utus warkah kepada Sultan Selangor

PUTRAJAYA 5 Mac – Presiden Pas, Abdul Hadi Awang mengutuskan warkah Menjunjung Kasih kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diserahkan kepada Setiausaha Sulit baginda, Muhamad Munir Bani.

Perkara tersebut dimaklumkan Pejabat Presiden Pas dalam satu pemakluman ringkas yang dimuat naik di Facebook rasmi Abdul Hadi.

“Adalah dimaklumkan bahawa suatu warkah Menjunjung Kasih kepada DYMM Sultan Selangor diutus dan diserahkan kepada Dato’ Lela Bakti Setiausaha Sulit Baginda Tuanku, bertarikh 4 Mac 2024. Menjunjung Kasih Tuanku,” kata pemakluman itu.

Pada 29 Februari lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan melalui Minda Presiden Pas itu bertajuk Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan pada 20 Februari lalu di portal berita pas.org.my.

Menurut Muhamad Munir, baginda menzahirkan dukacita itu menerusi satu surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri bertarikh 27 Februari.

Surat lima halaman itu juga menyebut, kenyataan Abdul Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Baginda turut menasihatkan supaya Abdul Hadi lebih berhati-hati pada masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan beliau yang boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini.

Berikutan itu juga, polis akan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment