Tiada hujan selepas pembenihan awan

TANJONG 29 Feb. – Tiada hujan direkodkan selepas dua operasi pembenihan awan dilakukan di kawasan tadahan air (KTA) Empangan Air Itam serta Empangan Teluk Bahang, dekat sini, semalam dan kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan, berkata keadaan itu berkemungkinan disebabkan keadaan atmosfera dan awan yang tidak begitu menggalakkan pada masa terbabit.

Beliau berkata, pembenihan awan mungkin tidak merangsang sebarang hujan jika

tiada awan, awan tidak mencukupi, atau suhu udara terlalu tinggi untuk titisan air terbentuk di awan dan jatuh.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pembenihan awan biasanya boleh merangsang lebih banyak hujan jika terdapat awan hujan pada ketinggian tertentu.

Berikutan, PBAPP berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menugaskan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk menjalankan operasi pembenihan awan tambahan di Pulau Pinang pada bulan depan.

Beliau memaklumkan, kapasiti efektif bagi Empangan Air Itam pada hari ini mencatatkan 37 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang pula 79.1 peratus berbanding pada 1 Januari lalu masing-masing 68.9 peratus, dan 95.4 peratus.

Katanya, kapasiti efektif maksimum Empangan Air Itam ialah 2,160 juta liter (JL) dan Empangan Teluk Bahang (18,240JL).

“Kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah rendah pada 5 Februari lalu tetapi ia telah meningkat sebanyak 4.2 peratus, iaitu daripada 32.8 peratus kepada 37 peratus pada hari ini.

“Walaupun terdapat hanya 45 milimeter (mm) hujan di KTA Empangan Air Itam dan cuaca panas, peningkatan itu adalah kerana pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024,” katanya.

Bawah AIDAP 2024, Pathmanathan berkata, PBAPP telah mengurangkan pelepasan harian daripada Empangan Air Itam sebanyak 75 peratus, sekali gus menyaksikan pengeluaran air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Empangan Air Itam juga menurun sebanyak 66 peratus.

Dalam usaha memastikan bekalan air mencukupi di Air Itam, beliau berkata, PBAPP mengepam 33 juta liter air terawat sehari (JLH) dari LRA Sungai Dua di Seberang Perai ke kawasan perkhidmatan LRA Air Itam.

“Kejayaan AIDAP 2024 bagi mempertahankan Empangan Air Itam hingga musim hujan berikutnya bergantung pada tiga faktor utama, iaitu ketersediaan air terawat yang mencukupi dari LRA Sungai Dua dan air mentah dari Sungai Muda di Seberang Perai.

“Selain itu, faktor aliran masuk air mentah yang mencukupi ke lima muka sauk air mentah bagi Empangan Air Itam dan LRA Air Itam di Pulau Pinang.

“Faktor ketiga ialah penggunaan air secara berhemat oleh 30,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan bekalan air Air Itam,” katanya.

(Foto PBAPP)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment