57 kes baharu, tiga kematian

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 57 kes positif baharu Covid-19 di negara ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 5,482 kes, kata

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada jumlah tersebut, 18 adalah kes import daripada warga Malaysia yang pulang dari luar negara, sementara 39 kes adalah kes penularan tempatan.

Beliau berkata, jumlah kes sembuh dan dibenarkan pulang adalah 54 kes, sekali gus menyaksikan peningkatan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh kepada 3,349 kes atau 61.1 peratus.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,041 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, sejumlah 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Bercakap dalam sidang media harian, di Putrajaya hari ini, Dr Noor Hisham memaklumkan tiga lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kematian di negara ini mencecah 92 kes atau 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kematian terbaharu itu dilaporkan selepas 24 jam Malaysia tidak merekodkan sebarang kematian akibat pandemik tersebut.

Kes kematian ke-90 (kes ke-2,050) merupakan perempuan warga Malaysia berumur 72 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau adalah ibu kepada kes ke-2,053 (yang turut mempunyai gejala pada hari yang sama).

Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 20 April pukul 1.47 tengah hari.

Kes kematian ke-91 (kes ke-4,090) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 69 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang. Beliau dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 6 April dan disahkan meninggal dunia pada 21 April pukul  2.28 pagi.

Kes kematian ke-92 (kes ke-5,332) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 92 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dementia. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19 iaitu kes ke-4,711.

Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 April dan disahkan meninggal dunia pada 21 April pukul 1.30 pagi.

Related posts

Leave a Comment