THE HAGUE: Tel Aviv dijangka menyerahkan laporan mengenai langkah diambil bagi menghalang pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Gaza seperti diarahkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Tempoh arahan hampir tamat, selepas The Hague menuntut Tel Aviv mengambil langkah mencegah tindakan genosid di bawah Konvensyen Genosid 1948, pada 26 Januari lalu.
Walaupun arahan sudah dikeluarkan, sebanyak 3,523 lagi rakyat Palestin terbunuh oleh serangan Israel di Gaza sejak 26 Januari, menjadikan jumlah kematian hampir 30,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Oktober lalu.
Tel Aviv, yang menafikan tuduhan genosid dalam kes yang difailkan Afrika Selatan akhir tahun lalu, dikehendaki melaporkan kepada ICJ mengenai semua langkah yang diambilnya untuk melaksanakan keputusan mahkamah.
Namun, Israel terus menyasarkan hospital dan sekolah di mana penduduk Palestin berlindung di Gaza, serta infrastruktur awam, dan meningkatkan serangannya walaupun berdepan perintah mahkamah.
Dalam tempoh sebulan sejak mahkamah mengeluarkan langkah sementara, serangan Israel membunuh lebih 100 rakyat Palestin di Gaza setiap hari, berjumlah 1,660 kanak-kanak dan 1,070 wanita. Di samping jumlah kematian, ribuan tidak dapat dikesan dikhuatiri maut di bawah runtuhan.
Mahkamah juga mengarahkan Israel mengambil langkah memperbaiki keadaan kemanusiaan di kawasan Palestin yang terkepung, tetapi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) melaporkan pada 14 Februari bahawa bilangan trak bantuan yang memasuki Gaza jatuh jauh di bawah paras sasaran harian 500 trak.
