Banyakkan program jualan murah – Anwar

KUALA LUMPUR 23 Feb. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain diperbanyakkan supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan harian termasuk beras, pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Beliau berkata, jadual pelaksanaan jualan-jualan murah terbabit akan dihebahkan secara kerap.

“Saya tegaskan bahawa kerajaan perlu terus memberi tumpuan penuh terhadap isu kos sara hidup yang masih membelenggu rakyat meskipun kadar inflasi semakin mereda kepada 1.5 peratus setakat Januari 2024,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 yang turut dihadiri menteri-menteri, timbalan menteri, Ketua Setiausaha kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, selain wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli NACCOL.

Perdana Menteri mahu penguatkuasaan dipertingkatkan bagi menjamin keberadaan beras dalam pasaran dan memastikan tiada pemborong atau pengilang mengaut keuntungan berlebihan.

Katanya , peningkatan penguatkuasaan juga akan memastikan tiada pemborong atau pengilang bertindak mencampurkan kandungan Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Putih Import (BPI) untuk dijual pada harga yang tinggi.

Anwar berkata, bekalan dan harga BPT dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal, namun beliau masih menerima aduan berhubung isu bekalan yang terhad.

Beliau menekankan, rakyat juga terkesan dengan kenaikan harga BPI dalam pasaran global berikutan larangan eksport yang dikenakan oleh negara pengeluar beras.

“Saya tegaskan betapa campur tangan Kerajaan MADANI pada ketika ini amat kritikal dan perlu diputuskan segera bagi memastikan isu bekalan serta harga makanan ruji utama rakyat ini terus kekal stabil dalam pasaran,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beberapa wakil industri dan NGO antaranya yang mewakili pesawah serta pengilang, turut menyuarakan beberapa cadangan dan pandangan berhubung situasi padi serta beras negara, terutama bagi memastikan ketersediaan beras pada harga yang munasabah kepada rakyat.

Beliau berkata, selepas mendengar dan mengambil kira semua pandangan, mesyuarat mengambil ketetapan agar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengetuai serta menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci dengan seberapa segera yang mungkin.

“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.

“Saya turut mengarahkan supaya hasil libat urus ini dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat NACCOL pada 20 Mac depan sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau juga memaklumkan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya boleh dijual pada harga lebih rendah.

“Ia sekali gus mewujudkan alternatif kepada rakyat untuk mendapatkan beras dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.

Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, NACCOL,  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari lalu.

Serentak itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg) berkuat kuasa 19 Februari.

Susulan itu pada 17 Februari, KPKM menjelaskan, belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata KPKM bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam NACCOL akan datang (hari ini).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment