Bekas ADUN DAP bangkit semula isu Kampung Baru Cina

SEPANG 23 Feb. –  Isu cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ‘timbul semula’.

Selepas lebih seminggu pencetus idea itu Nga Kor Ming pada 13 Februari, enggan memanjangkan isu tersebut, bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Ronnie Liu meminta ‘sejarah unik’ perkampungan itu diperingati sebagai tapak bersejarah negara.

Bekas Exco Selangor yang sebelum ini sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, melalui Facebooknya, turut menceritakan pengalaman keluarganya terpaksa berpindah ke kampung baru yang disifatkan unik.

Dari rumah ladang di pinggir bandar ke sebidang tanah lebih kecil berkeluasan kira-kira 372 meter persegi di sebuah kampung baru yang dipasang kawat duri di Cheroh, Raub, dan mendirikan kediaman menggunakan bahan binaan dari rumah ladang yang dirobohkan.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku di bawah Rancangan Briggs, iaitu strategi ketenteraan bagi membanteras pengganas komunis, di mana kira-kira 400,000 hingga sejuta orang yang kebanyakannya kaum Cina, dipaksa berpindah ke penempatan dipanggil Kampung Baru di seluruh Semenanjung.

“Kami kehilangan rumah ladang dan tanah ladang tanpa pampasan daripada penjajah ketika itu. Kehidupan sukar yang dilalui nenek moyang kami dan pengorbanan yang mereka lakukan secara kolektif adalah besar mengikut mana-mana tahap.

Itu fakta sejarah yang saya petik apabila saya bertegas supaya premium tanah untuk Kampung Baru di Selangor tidak berubah (ketika menjadi Exco negeri dari 2008 hingga 2013).

“Exco negeri menyahut seruan saya, dan premium untuk semua Kampung Baru di Selangor kekal rendah dan tidak berubah hingga hari ini,” kata Liu yang mengumumkan mengundur diri daripada DAP berkuat kuasa 24 Jun tahun lalu.

Sebelum ini, Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mencadangkan Kampung Baru Cina di Selangor dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Namun, cadangan itu mendapat bantahan meluas, termasuk daripada UMNO yang menyifatkan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Pada 13 Februari lalu, Kor Ming dipetik berkata, beliau enggan memanjangkan lagi isu itu, malah seakan menyifatkan isu berkenaan sudah tutup serta enggan mengulas bagi mengelak ia disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

Menurut Liu, konsep Kampung Baru adalah untuk memutuskan sokongan penduduk tempatan kepada komunis, dan ia terbukti berhasil selepas aktiviti gerakan itu terjejas teruk sejak pelaksanaan Rancangan Briggs, yang membawa kepada tindakan meletakkan senjata oleh Parti Komunis Malaya dan menandatangani Perjanjian Damai Hattyai.

“Sejarah unik Kampung Baru wajar diperingati sebagai tapak bersejarah negara. Kita mesti berani berdepan dan menerima fakta sejarah ini, dan pengiktirafan yang diberikan kepada Kampung Baru akan memberi kesan yang jauh dalam sejarah pembinaan negara ini,” kata Liu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment