Nombor plat GOLD 1 milik Sultan Ibrahim

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Nombor plat kenderaan keluaran khas “GOLD 1” menjadi milik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas membida pada nilai sebanyak RM1.5 juta.

Hasil bidaan tertinggi dalam sejarah negara itu akan disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Menteri Pengangkutan Anthony Loke, di Istana Negara hari ini untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat kenderaan berkenaan.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini, membuka bidaan bagi nombor pendaftaran istimewa (NPI) iaitu siri ‘GOLD’ sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Bidaan itu dibuka melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) mulai 1 Februari lalu, sehingga pukul 10 malam 5 Februari lalu.

NPI yang dimaksudkan ialah tanda indeks mempunyai prefix siri GOLD, melambangkan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut kadar minimum ditetapkan, iaitu bermula daripada RM20,000 bagi nombor bernilai utama, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800), dan nombor biasa (RM300).

JPJ menerusi bidaan nombor pendaftaran FF sebelum ini berhasil mendapat pulangan hampir RM35 juta.

Related posts

Leave a Comment