Prestasi ringgit dipengaruhi faktor luaran

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Prestasi ringgit sejak kebelakangan ini, sama seperti mata wang serantau lain telah dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour.

Sebahagian daripada faktor ini termasuk pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), kebimbangan geopolitik dan ketidaktentuan yang menyelubungi prospek ekonomi China.

Dalam satu kenyataan, Abdul Rasheed berkata, BNM berpandangan bahawa paras semasa ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia menuju ke hadapan.

Gabenor bank pusat itu berkata, pertumbuhan pada 2024 akan dipacu oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

Beliau menambah, unjuran terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah perdagangan global akan meningkat daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus pada 2024.

Bagi Malaysia, katanya eksport telah menunjukkan peningkatan yang stabil sejak suku keempat 2023, malah eksport bagi Januari 2024 yang baru dikeluarkan telah menjadi positif apabila berkembang sebanyak 8.7 peratus.

Katanya , sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dengan ketibaan pelancong pada 2024 dijangka mengatasi paras prapandemik seramai 26 juta orang.

“Momentum pelaburan meningkat dengan pelaksanaan projek-projek yang diluluskan dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

“Mencerminkan perkembangan positif ini dan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan berstruktur serta jangkaan penurunan kadar faedah di ekonomi maju, kebanyakan penganalisis mengunjurkan ringgit akan meningkat tahun ini,” katanya.

Nilai ringgit terus mencatat penurunan ketara hari ini apabila mencecah paras RM4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada sekitar pukul 5 petang ini, ringgit berada di paras 4.795 susut 0.41 peratus berbanding penutup semalam.

Untuk rekod, mata wang negara mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 4.88 pada Januari 1998 iaitu ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia.

Paras terbaharu hari ini juga mengatasi paras terendah harian yang dicatat pada 23 Oktober 2023 lalu iaitu 4.7925.

Nnn

Related posts

Leave a Comment