Kematian kanak-kanak ibarat bom jangka

GENEVA: Kekurangan makanan dan zat yang membimbangkan selain penyakit berjangkit umpama bom jangka dalam kematian kanak-kanak di Gaza akibat perang Israel-Palestin yang sudah berlarutan 20 minggu.

Timbalan Ketua Tindakan Kemanusiaan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Ted Chaiban, berkata bekalan makanan sangat terhad menyebabkan hampir semua kanak-kanak kecil dilanda penyakit berjangkit.

“Semenanjung Gaza bersedia untuk menyaksikan bom jangka dalam kematian kanak-kanak yang sepatutnya boleh dicegah namun ia dilihat menambahkan lagi senarai jumlah sedia ada,” katanya.

Menurut Chaiban, berdasarkan penilaian UNICEF sekurang-kurangnya 90 peratus kanak-kanak di bawah usia lima tahun di Gaza terjejas disebabkan beberapa penyakit berjangkit.

Katanya, sebanyak 70 peratus kanak-kanak pula mengalami cirit-birit, sekali gus menyaksikan peningkatan 23 kali ganda berbanding tahun lalu.

“Penilaian PBB menunjukkan lebih 15 peratus kanak-kanak atau satu daripada enam mereka yang berusia di bawah dua tahun di utara Gaza mengalami kekurangan zat makanan yang teruk manakala tiga peratus mengalami insiden mengancam nyawa,” katanya.

Chaiban berkata, berdasarkan penilaian itu, lima peratus kanak-kanak di bawah usia dua tahun mengalami kekurangan zat makanan yang teruk di selatan Gaza.

“Sebelum perang, hanya 0.8 peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun di Gaza dianggap mengalami kekurangan zat makanan. Penurunan status pemakanan penduduk dalam tempoh tiga bulan tidak pernah berlaku sebelum ini di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Mike Ryan, berkata kelaparan dan penyakit adalah gabungan resipi yang membawa kepada maut.

“Kanak-kanak yang lapar, lemah dan trauma lebih cenderung untuk sakit, dan apabila itu berlaku terutamanya cirit-birit, mereka tidak dapat menyerap nutrien dengan baik.

“Ia berbahaya, tragis, dan malangnya ia berlaku di hadapan mata kita,” katanya melalui kenyataan.

Maklumat rasmi daripada Israel, menunjukkan serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel selatan mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang manakala Kementerian Kesihatan kendalian Hamas, pula berkata, serangan Israel ke atas Gaza membunuh lebih 29,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Related posts

Leave a Comment