TEL AVIV – Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, susulan dakwaan bahawa Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata dan penemuan mayat tebusan yang didakwa direka.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengarahkan tentera melancarkan “serangan segera dan berkuasa” ke atas Semenanjung Gaza.
Menurut pegawai tentera Israel, anggota Hamas telah menyerang pasukan Israel di timur Garisan Kuning – sempadan antara kawasan yang diduduki Israel dan wilayah Gaza – menggunakan pelancar bom tangan (RPG) dan penembak tepat.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, memberi amaran Hamas akan membayar “harga yang tinggi” atas serangan terhadap anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF), dan berikrar akan bertindak balas “dengan kekuatan yang besar.”
Susulan arahan Netanyahu, serangan udara Israel di kawasan kejiranan Al-Sabra, Gaza City, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga wanita dan seorang lelaki, menurut Pasukan Pertahanan Awam Gaza.
Di Khan Younis, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita.
Sementara, di utara Gaza pula, Pengarah Hospital Al Shifa, Dr Mohammed Abu Salmiya melaporkan, sekurang-kurangnya tiga serangan berlaku berhampiran fasiliti tersebut.
Hamas mengecam tindakan Israel yang disifatkan sebagai “pengeboman jenayah” dan menafikan dakwaan menyerang tentera Israel serta menegaskan komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata.
Dalam pada itu, IDF turut mendedahkan rakaman dron yang didakwa menunjukkan anggota Hamas menanam mayat yang dibalut kain putih di Gaza City, sebelum “menemui” semula mayat itu di hadapan wakil Palang Merah.
Rakaman hampir 15 minit itu menunjukkan tiga lelaki menyeret kain putih ke kawasan tanah yang telah digali, menutupnya dengan tanah, dan kemudian menggunakan jentolak untuk mengalihkan tanah tersebut.
Beberapa minit kemudian, wakil Palang Merah tiba dan mayat itu ditarik keluar semula dari tanah, sambil dirakam oleh individu yang memegang telefon bimbit.
Palang Merah dalam kenyataan berkata, pihaknya “tidak mengetahui bahawa mayat telah diletakkan di situ sebelum ketibaan mereka” dan menyifatkan insiden itu sebagai “tidak boleh diterima” kerana ia menjejaskan kepercayaan terhadap perjanjian gencatan senjata.
Susulan arahan Netanyahu, sayap bersenjata Hamas mengumumkan penangguhan penyerahan mayat tebusan yang ditemui di selatan Gaza, dengan alasan “pelanggaran” oleh Israel.
Hamas turut memberi amaran bahawa sebarang peningkatan serangan oleh Israel akan “menjejaskan operasi pencarian dan penggalian serta pemulangan mayat tebusan yang telah meninggal dunia.”
Nnnn
