Jejantas ditutup 4 tahun lalu dibuka semula

PADANG BESAR 15 Feb. – Jejantas yang menghubungkan Stesen Kereta Api Padang Besar ke Kompleks Imigresen, Kastam, Keselamatan dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar, kini dibuka semula selepas hampir empat tahun ditutup.

Jejantas pejalan kaki sepanjang 350 meter itu ditutup pada 1 September 2020 atas faktor keselamatan selepas beberapa siri penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba bolos ke negara ini menggunakan jejantas sehingga kawasan ICQs.

Penutupan juga untuk memberi laluan kepada kerja naik taraf koridor pejalan kaki yang disambungkan dengan jejantas berkenaan untuk keluar dari Kompleks ICQs menuju Bulatan Padang Besar yang dibiayai kos RMRM250,000.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Perlis, Izizam Ibrahim, berkata pembukaan jejantas dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu hasil perbincangan pihaknya dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Imigresen.

“Mereka sebulat suara bersetuju membuka semula jejantas berkenaan bagi kemudahan orang ramai yang turun di stesen kereta api menuju Arked Niaga Padang Besar dan sekitarnya. Jejantas ini dibuka setiap hari dari 6 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Berikutan pembukaan itu, beberapa perkara berbangkit berhubung keselesaan pengunjung yang turun di stesen kereta api dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu ditambah baik selepas ini termasuk kemudahan bagi orang kurang upaya (OKU) menggunakan kerusi roda untuk melalui jejantas kerana setakat ini hanya disediakan tangga.

Beliau juga mengakui pembukaan semula jejantas itu dilihat akan menyebabkan pendapatan pemandu teksi dan e-hailing membawa pelancong ke tempat beli-belah seperti Arked Niaga Padang Besar atau Padang Waremart terjejas.

(Foto UPNPs)

Nnn

Related posts

Leave a Comment