Operasi selesai, dua mayat dikeluarkan

KLANG 13 Feb. –  Polis Selangor mengesahkan juruterbang dan pembantu juruterbang terkorban dalam nahas pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar tengah hari tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mayat kedua-dua mangsa lelaki warga tempatan ditemui di bahagian kokpit yang terbenam lebih dua meter dalam tanah.

Mayat dua mangsa berkenaan dikeluarkan dari lokasi nahas jam 8.10 malam tadi dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.

“Mangsa yang terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran untuk mengeluarkan kedua-dua mayat mangsa dan terpaksa menggunakan jengkaut Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

“Sukar sebab terbenam, tidak boleh korek sembarangan, …lokasi itu dalam kawasan kelapa sawit,” katanya sambil menambah serpihan pesawat terbabit tersebar dalam lingkungan 50 meter.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan operasi menggunakan bantuan “excavator” dan penggalian secara manual untuk mencari mangsa.

Mangsa pertama berjaya ditemukan dan dikeluarkan pada pukul 7.06 malam oleh pasukan penyelamat manakala mangsa kedua dikeluarkan pada pukul 7.17 malam.

Kedua-dua mangsa ditemui berhampiran bangkai pesawat dan disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

“Dengan berakhirnya penemuan dua jasaf mangsa, operasi pencarian ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.35 malam,” kata kenyataan itu.

(Foto JBPM)

Related posts

Leave a Comment