Dua mangsa dalam kokpit terbenam

KAPAR 13 Feb. – Dua mangsa korban nahas udara yang berlaku di Kampung Tok Muda, Kapar disahkan berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter.

Ketua Polis Negeri Selangor Datuk Hussein Wan Omar berkata, kedua-dua mangsa tersebut berusia antara 30 hingga 40 tahun, yang sedang menjalani latihan penerbangan rekreasi.

“Ketika ini pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan kedua-dua mangsa, yang kita percaya telah terkorban.

“Kedua-dua mangsa (kemudian) akan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat, dan pengecaman sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya kepada media.

Mangsa yang terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 42.

Hussein berkata setakat ini siasatan akan menentukan sama ada tubuh badan mangsa berada dalam keadaan yang sempurna, tetapi beliau mengesahkan keadaan kokpit pesawat yang terbenam masih dalam keadaan baik.

Sebelum ini Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan seramai dua penumpang termasuk seorang juruterbang berada dalam pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Kampung Tok Muda, dekat sini.

Pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC), yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.

Sementara itu Hussein berkata, kawasan seluar 50 meter radius dari kawasan kejadian telah ditutup bagi memudahkan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) serta siasatan.

Katanya, pihak berkuasa perlu berhati-hati menjalankan proses mengeluarkan mangsa, dan mereka menggunakan khidmat jentera pengkaut dari pihak kerajaan tempatan.

Beliau berkata kerja-kerja tersebut dijangka akan selesai menjelang malam ini.

“Siasatan akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) dari Kementerian Pengangkutan, dan polis juga telah membuka kertas inkuiri.

“Kami dari pasukan PDRM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga, dan saya mengucapkan terima kasih kepada semua anggota pasukan dan agensi yang terlibat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment