JOHOR BAHRU 11 Feb. – Jangan bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’ dan jangan buang tongkat apabila sudah lepas jambatan. Itu ingatan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kepada pemimpin PKR.
Ingatan itu susulan kenyataan Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil yang mengingatkan bekas Naib Presiden PKR, N Surendran yang mengumumkan keluar parti untuk mengamal disiplin dalam parti ketika menyuarakan pandangan.
Surendran mengkritik sikap pemimpin PH yang berdiam diri berkaitan siasatan hasutan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung catatan di Facebook yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak.
Dalam reaksinya, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menghormati keputusan keluar parti itu namun mendakwa Surendran tidak dicalonkan dan sudah tidak aktif sejak Pilihan Raya Umum ke-14, maka mungkin bekas pemimpin tertinggi PKR itu merasakan sesuai untuk berjuang menggunakan ‘platform’ lain.
Hassan berkata, Surendran berjuang sejak parti itu ditubuhkan pada 1999 bermula sebagai pembangkang sehingga berjaya menjadi Kerajaan Persekutuan sekarang.
Malah tidak dinafikan Surendran pernah bersama-sama mengharungi susah payah perjuangan PKR di peringkat awal termasuk turun di jalanan dalam menuntut keadilan ketika era gelombang reformasi.
“Kita ada pepatah jangan kacang lupakan kulit. Apabila kita sudah lepas jambatan jangan tongkat dibuang, sebelum adanya generasi baharu (dalam kepimpinan PKR) Surendran sudah ada di jalan raya untuk (perjuangan) reformasi.
“Beliau bukan seseorang yang sentiasa menghebahkan apa yang dilakukan sebelum ini atau ketika ini namun saya yakin dengan perjuangan beliau.
“Generasi baru macam (Ketua Penerangan PKR) Fahmi (Fadzil) masih di universiti (tapi masa itu) kita dah kena tangkap, kena pergi ke mahkamah,” katanya ditemui pada majlis menamakan bayi di Taman Impian Heigh, Skudai di sini hari ini.
Hassan berkata, adalah tidak wajar untuk terus mengkritik keputusan Surendran itu sebaliknya menghargainya termasuk pernah menjadi peguam kepada Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sepanjang Surendran berada dalam parti tidak pernah menimbulkan masalah dan sikapnya yang berdiam diri bukan bermaksud tidak aktif.
“Diam itu bukan bermakna dia tidak aktif, dia aktif, cuma bagi peluang kepada orang lain. Dia pemimpin yang bagus dan intelektual. Bagilah sedikit ucapan terima kasih atas jasa-jasanya. Jangan kata, hei kalau ‘you’ nak berhenti, berhentilah.
“Kena ingat orang-orang lama (dalam PKR) yang dah berjuang, masa itu PKR tidak menjadi kerajaan, duduk di jalan raya. Surendran dan (bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh) R Sivarasa juga adalah orang yang berulang alik jumpa Anwar semasa Anwar dalam penjara,” katanya.
