Bina keluarga pada usia muda – Lee

SINGAPURA 10 Feb. – Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyeru lebih ramai pasangan rakyat Singapura supaya segera ‘membina keluarga’ dan mempunyai anak pada usia lebih muda.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina, Lee berkata pemerintah komited bagi membina apa yang disebut sebagai “Singapura adalah untuk Keluarga” dan pemerintah akan terus menyokong aspirasi perkahwinan dan keibubapaan.

Lee juga menarik perhatian kepada kadar kesuburan penduduk yang semakin turun di merata dunia terutama sekali dalam masyarakat maju seperti Singapura.

Beliau akur bahawa ramai anak muda mengutamakan membangunkan kerjaya mereka, menghabiskan masa berkualiti bersama pasangan mereka dan mengejar minat lain.

Malah, pasangan yang mahukan anak mungkin menangguhkan rancangan mendirikan rumah tangga, tanpa menyedari bahawa ia akan menjadi lebih sukar setiap tahun.

Bagaimanapun Lee masih berharap lebih ramai pasangan Singapura akan membuat keputusan mempunyai lebih ramai anak awal. 

Katanya, lebih banyak bantuan sudah diberi untuk menyokong ibu bapa dalam bidang-bidang seperti penjagaan bayi dan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan.

Sokongan itu akan membantu ibu bapa mengharungi tahun-tahun pembentukan anak-anak mereka.

Baru-baru ini, cuti bapa yang dibayar pemerintah digandakan daripada dua kepada empat minggu, secara sukarela.

Sempena tahun baharu Naga tahun ini, Lee berkata ramai keluarga Cina menganggap anak yang dilahirkan pada tahun naga sebagai sangat bertuah kerana naga dianggap sebagai lambang kuasa, kekuatan dan tuah.

“Jadi, ini adalah masa yang terbaik bagi pasangan muda menambah ‘naga kecil’ dalam keluarga mereka,” kata Lee

Lee juga menggesa semua rakyat Singapura agar terus maju dengan keyakinan dan keazaman serta berharap mereka dalam keadaan sihat.

Related posts

Leave a Comment