KUCHING 7 Feb. – Doktor dan jururawat daripada Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya ditempatkan di kediaman bekas Yang Dipertua Negeri, Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya, di sini.
Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg, berkata doktor dan jururawat daripada pusat perubatan berkenaan disediakan bagi merawat serta memantau keadaan tokoh berusia 87 tahun itu.
Beliau mengakui kesihatan bekas Ketua Menteri yang berkhidmat selama 33 tahun sejak 1981 hingga 2014 itu agak merosot, namun keadaannya baik.
“Ya beliau memang sakit, tetapi okay. Beliau kini sedang menerima rawatan di rumah dan kita menyediakan doktor serta jururawat untuk sentiasa memantaunya,” katanya selepas Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini, hari ini.
Hadir sama , Timbalan Premier Sarawak, Awang Tengah Ali Hasan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Ahmad Nadzri Mohd Hassan.
Ditanya sama ada beliau sudah melihat keadaan Abdul Taib, Abang Johari berkata, beliau belum melawatnya lagi.
“Beliau masih dalam rawatan, jadi saya belum melawatnya. Tetapi kita sentiasa menerima perkembangan daripada pegawai perubatan (yang merawatnya),” katanya.
Sebelum ini, seorang doktor daripada Pusat Perubatan Pakar Normah membuat laporan polis mendakwa Abdul Taib dibawa secara paksa keluar dari hospital pada jam 11.56 malam Sabtu lalu walaupun dinasihatkan beliau perlu kekal di kemudahan itu untuk rawatan.
Susulan laporan polis itu, adik Abdul Taib, Datuk Mohammad Tufail Mahmud turut membuat laporan polis terhadap isteri Abdul Taib, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.
Laporan itu mendakwa Raghad mengabaikan nasihat perubatan apabila tidak berbincang dengan kakitangan unit rawatan rapi (ICU), selain tidak berunding dengan keluarga sebelum membawa Abdul Taib keluar hospital.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, setakat ini polis menerima lapan laporan berhubung isu bekas Yang Dipertua Negeri itu.
