KUALA LUMPUR 7 Feb. – Sempena Tahun Baharu Cina, pengguna lebuh raya membabitkan Kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) akan menikmati pengecualian bayaran tol selama dua hari esok, 8 Februari dan Jumaat, 9 Februari.
Pada masa yang sama, pengurangan had laju akan dilaksanakan di semua Jalan Persekutuan di Malaysia, daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j, berkuat kuasa esok sehingga 13 Februari ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan perkara itu dalam dua kenyataan berasingan hari ini menjelang sambutan Tahun Baharu Cina Cina pada Sabtu dan Ahad ini.
Menurut KKR, pemberian tol percuma akan dilaksanakan di semua lebuh raya bermula pada jam 12.01 tengah malam, 8 Februari 2024 (Khamis) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 9 Februari 2024 (Jumaat) di mana implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.
Pengecualian tol akan diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (Kenderaan Persendirian) sahaja di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.
KKR berkata, pemberian tol percuma ini diharapkan dapat dimanfaatkan pengguna lebuh raya dengan merancang perjalanan sewajarnya dan dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.
Dalam pada itu, KKR turut menasihatkan pengguna untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet adalah mencukupi.
Pengguna boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook : Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.
Mengenai had laju, KKR memaklumkan, pewartaan pengurangan had laju itu ditetapkan sepanjang Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan dalam tempoh berkenaan, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Pewartaan pengurangan had laju sementara itu adalah antara langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil kerajaan bagi meningkatkan keselamatan serta mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku pada musim perayaan.
KKR turut memaklumkan, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal dihentikan supaya tidak mengganggu aliran trafik sepanjang tarikh operasi, kecuali kerja kecemasan.
“Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR untuk semua pihak bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan keselesaan pemanduan diutamakan, terutama di Jalan Persekutuan,” kata kenyataan itu.
