K6 Bersatu, siapa berani jadi ‘anak jantan’

IBARAT gantung tidak bertali. Itu situasi dialami Kumpulan Enam (K6) Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Anwar Ibrahim. Malangnya istilah yang merujuk hubungan suami isteri itu tidak terpakai bagi K6.

Walaupun K6 wakil rakyat itu cuba menunjukkan ‘kejantanan’ masing-masing tetapi tidak ada seorang pun yang berani bertindak sebagai ‘anak jantan’ mengisytiharkan keluar parti dan sanggup berhadapan pilihan raya kecil (PRK).

“Jika benar nak jadi anak jantan, umumkan pengunduran sebagai Ahli Parlimen,” kata Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris ketika mencabar Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang ‘buat bising’ mencabar Bersatu memecat keahliannya

Hakikatnya Bersatu tidak bodoh atau menunjukkan kebodohan memecat ahli Parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar. Jika pecat, maka wakil rakyat berkenaan “menang percuma’, ibarat menyerahkan kerusi yang dimenangi atas tiket Bersatu kepada musuh. Ini tidak adil kepada pengundi.

Ingatlah, pelanduk mungkin lupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk. Dalam hal ini, siapa pelanduk dan siapa pula jerat?

Kedudukan K6 atau enam wakil rakyat ini tergantung kerana Bersatu tidak bersedia menjadi ‘anak jantan’ yang dungu menyahut cabaran melepaskan wakil rakyat yang menang atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Mengikut akta lompat parti, seseorang wakil rakyat itu dianggap melompat parti sekiranya beliau melepaskan keanggotaan parti politik yang disertainya semasa pilihan raya atau tidak lagi menjadi anggota parti itu.

Sebaliknya pemecatan daripada keanggotaan sekiranya dilakukan oleh parti politiknya, maka itu tidak dikira lompat parti dan ini bermakna mana-mana wakil rakyat yang dipecat daripada parti akan kekal kedudukan sebagai wakil rakyat.

Maka tidak perlulah cabar-mencabar dalam hal ini, seolah-olah menunjukkan kebodohan percaturan politik kerana semua orang tahu ‘jantan betina’, apabila masing-masing mempunyai kepentingan untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi.

Hakikatnya Bersatu dan K6 sedang ‘bermain tarik tali’, mempertahankan diri, tersilap langkah akan ada yang tersungkur walaupun masing-masing ‘terikat’ dan ‘diikat’ oleh akta berkaitan lompat parti.

Untuk rekod Perkara 49A(1) Pertukaran Parti Politik Anggota ada menjelaskan sebab keanggotaan Dewan Rakyat gugur bermaksud seseorang itu telah dianggap melompat parti.

Sebabnya sama ada wakil rakyat itu melepaskan keanggotaan parti atau tidak lagi menjadi anggota parti itu, dan setelah dipilih ke Dewan Rakyat bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.

Sebaliknya pengecualian bagi lompat parti adalah Perkara 49A(2) iaitu pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya; pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua; pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.

Prinsip asas dalam mendefinisikan lompat parti adalah berdasarkan tindakan seseorang wakil rakyat itu sendiri untuk keluar parti yang dianggotainya.

Dalam hal ini K6 hanya mampu mengisytiharkan sokongan, tidak lebih daripada itu dan pada masa yang sama, masih mengakui sebagai ahli parti kerana mereka sedar kerusi akan hilang jika bertindak meninggalkan Bersatu.

Maka amat melucukan apabila, Ahli Parlimen Labuan yang digantung keahlian enam tahun oleh Bersatu mencabar parti itu memecat semua Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Saya nasihatkan kepada pucuk pimpinan Bersatu, kalau rasa hebat sangat .. pecatlah kami yang dah isytihar sokong PMX (Perdana Menteri Kesepuluh).
Nak suruh kosongkan kerusi? Ini memang saya tidak layan lah, tunggu saja PRU16 (Pilihan Raya Umum ke-16),” katanya.

Kata orang sudah terang lagi bersuluh. Sepatutnya K6 bertindak sebagai anak jantan meninggalkan parti, bukan menunggu dipecat. Ada berani?

Selain Suhaili, siapakah agaknya daripada K6 yang bersedia menjadi anak jantan, dan menunjukkan kejantanan meninggalkan Bersatu?

Adakah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) atau Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Bersatu sudah tentu tidak mahu kehilangan kerusi yang dimenangi atas kerjasama dengan Pas dan Gerakan manakala K6 amat mengharapkan Bersatu memecat mereka untuk menyelamatkan kedudukan sebagai wakil rakyat.

Maka tiada jalan penyelesaiannya kecuali Bersatu meminda perlembagaan untuk memastikan wakil rakyat parti itu yang mengisytiharkan sokongan kepada parti lain diterjemahkan sebagai keluar parti dan risikonya kehilangan kerusi.

Jika perlembagaan dipinda, kedudukan K6 akan tergugat kerana keahlian mereka masih bersama Bersatu dan tertakluk kepada peraturan parti. Maka itu yang menyebabkan wakil rakyat berkenaan ghairah meminta dipecat.

Tunggu dan lihat siapa yang kena!

Nnn

Related posts

Leave a Comment