Calon PH pula tunjuk Sijil UPSR, SPM

KUALA KUBU BHARU 29 April –  Selepas seorang anggota Parlimen pembangkang bertanyakan latar belakang pendidikannya, calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu tampil menunjukkan sijil kelulusannya.

Pang Sock Tao, 31, muat naik di Facebooknya dengan mendedahkan beliau menamatkan sesi persekolahan menengahnya di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau turut memuat naik transkrip Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan empat (A+), serta tiga (A-) dan tiga (A).

Beliau turut memaparkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang didudukinya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong Ampang, Hulu Langat di Selangor, pada 2005.

“Yang Berhormat (Ahli Parlimen) Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari, bertanya tentang UPSR dan SPM saya. Inilah jawapannya.

“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti dicurahkan dalam mendidik saya.

Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak mereka,” katanya mengulas kenyataan Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas.

Fadhli malam tadi, dilaporkan mencabar Sock Tao menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengahnya, selain mempersoal dimanakah calon PH itu menduduki SPM dan UPSR.

“Saya mencabar calon PH pula untuk menyatakan pendidikan rendah dan menengahnya. Silakan. Di manakah peperiksaan UPSR dan SPM diambil, tentu menarik untuk diketahui,” katanya.

Related posts

Leave a Comment