KUALA LUMPUR 30 Jan. – Perkembangan politik semasa yang mendedahkan wujud tindakan pihak tertentu mahu menumbangkan kerajaan sedia ada amat menggusarkan kerana ia boleh merugikan dan menjejaskan kestabilan negara.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, urusan mentadbir kerajaan bukan sesuatu yang mudah dan perubahan yang mahu dilakukan sebelum tempoh pemerintahan ini berakhir, tidak akan membawa negara ke mana-mana.
“Saya bukan mahu menidakkan mana-mana parti politik tetapi pengalaman bertukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara.
Sepanjang lima tahun menjadi Agong, saya ada empat Perdana Menteri dan ia cabaran terbesar yang perlu saya hadapi. Saya berusaha mententeramkan negara dan kekalkan keharmonian serta kestabilan hingga kini.
“Mengurus kerajaan ini bukan perkara mudah, pertukaran tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ini akan rugikan rakyat dan kewangan negara.
Kita sudah ada proses demokrasi yang tertulis pada setiap lima tahun rakyat boleh memilih kerajaan melalui pilihan raya. Jadi biarlah sekurang-kurangnya kerajaan yang ada ini memerintah mengikut tempoh ditetapkan, bukan sekadar satu atau dua tahun dan kemudian menukar dengan sewenang-wenangnya,” titah baginda pada sesi bersama media di Istana Negara semalam.
Al- Sultan Abdullah bertitah, kemelut politik negara hingga membabitkan pertukaran empat Perdana Menteri berbeza sepanjang lima tahun pemerintahan baginda memberi kenangan sukar diterima.
Baginda bertitah, apa yang sudah berlaku membuktikan perubahan yang dimahukan rakyat dengan khidmat Perdana Menteri dalam tempoh singkat tidak memberikan kebaikan langsung kepada negara.
“Jika kita tukar Perdana Menteri setiap tahun, ada Kabinet baharu, ia tak menjanjikan apa-apa. Ini pengalaman saya. Jadi, rakyat perlu bagi tempoh sewajarnya untuk menilai keberkesanan pentadbiran kerajaan, bukannya dalam tempoh setahun dua dan kemudian mempersoalkan prestasi mereka.
“Apa yang kita boleh buat dalam tempoh setahun? Jika tukar kerajaan, banyak perubahan akan berlaku membabitkan dasar dan corak pentadbiran yang akan melambatkan proses pengurusan. Malaysia pula perlu lebih kompetitif supaya tak ketinggalan.
“Pelabur asing akan melihat perkara ini dan ketidaktentuan kestabilan negara boleh menyebabkan mereka takut melabur di Malaysia sedangkan kita perlukan mereka ini untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” titah baginda.
Susulan itu, Al-Sultan Abdullah menggesa rakyat memahami kepentingan menjaga kestabilan negara untuk jangka panjang dalam usaha memacu perkembangan ekonomi ke peringkat lebih tinggi.
“Saya sudah buat yang terbaik untuk negara sepanjang lima tahun menjadi Yang di-Pertuan Agong, tetapi sedih nak tinggalkan Istana Negara jika rakyat masih berpecah belah,” titah baginda.
Nnn
