Skim baharu juga libatkan lantikan politik

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Pelaksanaan skim tidak berpencen bagi penjawat awam baharu juga terpakai kepada pelantikan politik, sama ada sebagai menteri, menteri besar dan wakil rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, tidak ada masalah untuk melaksanakan peraturan itu dan apa saja keputusan yang ditetapkan bagi penjawat awam terpakai juga bagi ahli politik.

“Maknanya, kalau kita mula pada 1 Februari 2024 dan semua kemasukan baharu itu tidak berpencen, maka itu juga sama untuk semua lantikan baharu ahli politik.

Jadi ada orang kata mengapa tidak (termaktub sama ahli politik). Soal lain ada yang pernah jadi menteri besar, jadi menteri dan kemudian jadi timbalan perdana menteri, itu menunjukkan Perlembagaan kita boleh kaji tetapi tak boleh dibawa ke belakang secara retrospektif.

“Untuk yang baharu kita boleh kaji. Saya ingat kita tidak ada masalah kita nak tukar penyesuaian ini.

Secara prinsipnya, saya bersetuju supaya apa sahaja keputusan yang dibuat untuk perkhidmatan awam terpakai bagi pelantikan politik tetapi dimuktamadkan setelah kajian dibawa dan Jemaah Menteri putuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum makan tengah hari di sebuah restoran di sini, hari ini.

Sebelum ini, wujud gesaan berkaitan pemansuhan pencen ahli politik susulan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam baharu kerajaan berstatus tetap selepas ini tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, pengumuman mengenai tempoh dan tarikh pelaksanaan akan dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

Pengumuman itu mencetuskan polemik apabila tidak dipersetujui kebanyakan rakyat dan pelbagai lapisan pemimpin politik.

Related posts

Leave a Comment