KUALA LUMPUR 26 Jan. – Bekas Yang Dipertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 77 dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan bagi tempoh empat tahun bermula hari ini sehingga 26 Januari 2028.
Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di sini.
Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Wan Junaidi, yang dilantik mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak menggantikan Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.
Pada istiadat sama, Wan Junaidi turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun.
Istiadat pengurniaan turut disaksikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni.
Wan Junaidi dilahirkan di Kampung Pendam (kini Sadong Jaya), Sarawak pada 1 Februari 1946.
Beliau menyertai Polis Diraja Malaysia pada 1964 sebelum berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan dari 1968 hingga 1973, dan dalam tempoh itu beliau juga pernah bertugas di Kawasan Keselamatan Rajang (Rascom).
Wan Junaidi mula berkecimpung dalam arena politik pada 1990 selepas memenangi kerusi Parlimen Batang Lupar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelapan yang dipertahankannya untuk dua penggal seterusnya, sebelum berpindah ke Parlimen Santubong pada PRU ke-11 pada 2004 yang berjaya dipertahankannya untuk empat penggal berturut-turut sehingga 2022.
Anak jati Sarawak itu pernah menyandang beberapa jawatan menteri antaranya Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2013 hingga 2015, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2015 hingga 2018) dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2020 hingga 2021) selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) (2021 hingga 2022).
Beliau juga pernah dilantik Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2013 dan Yang Dipertua Dewan Negara pada 2023.
Nnn
