KUALA LUMPUR 25 Jan. – Negara dijangka berdepan kekurangan penjawat awam dalam tempoh 10 tahun akan datang susulan keputusan kerajaan mengambil kakitangan awam baharu yang berstatus tetap tetapi tidak berpencen.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, mengambil contoh Kementerian Kesihatan yang mempunyai kira-kira 250,000 kakitangan awamnya.
“Bilangan itu pasti akan menyusut kerana bakal pembantu perubatan, bakal jururawat, bakal ahli farmasi dan x-ray serta bakal doktor lebih bersedia berkhidmat di klinik dan hospital swasta serta di luar negara.
Kementerian Pendidikan mempunyai kira-kira 503,000 kakitangan terutama guru yang sentiasa berkorban demi anak bangsa tetapi bayangkan akan berlaku kekurangan bagi tempoh 10 tahun mendatang kerana tawaran kontrak dan tidak berpencen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.
Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Razali bertanya apa sebenarnya hala tuju kerajaan Perpaduan yang semakin menipis tindak tanduk dalam keputusan yang besar ini.
“Kalau sudah berkontrak dan tidak berpencen, lebih baik bekerja dalam sektor swasta yang jauh lebih baik,” katanya yang menyifatkan periuk nasi penjawat awam terusik akibat keputusan Kabinet yang fikirkan keuntungan ke atas permasalahan ekonomi yang kerajaan Perpaduan gagal mengatasi dalam tempoh setahun lalu.
Razali berkata, mengambil tanggungjawab yang semakin mencengkam ini, Perikatan Nasional (PN) bersedia dan bersama kira-kira 2.3 juta penjawat awam termasuk anggota pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), tentera dan polis menjadikan isu itu sebagai agenda nasional yang perlu dipertahankan secara bersama.
