127,000 pengguna air terjejas

TANJONG 24 Jan. – Sebanyak 120,000 pengguna air di kawasan Barat Daya dan sebahagian di Timur Laut terjejas berikutan kerosakan paip di dasar Sungai Perai, semalam, kali ketiga selepas Disember tahun lepas dan 12 Januari lalu.

Susulan itu, Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk melaksanakan dua pelan tindakan kecemasan secara serentak bagi memulihkan semula bekalan air yang  terjejas secepat mungkin.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata mesyuarat Exco hari ini membuat ketetapan supaya kerosakan paip di dasar Sungai Perai, Butterworth dibaiki segera, dan dalam masa sama kerja-kerja paip baharu merentangi Sungai Perai dipercepat.

“Sebanyak 120,000 pengguna air di kawasan Barat Daya dan sebahagian pengguna di Timur Laut perlu bersedia berdepan gangguan bekalan air hingga 30 Januari ini sekiranya operasi pembaikan paip bawah air yang bocor di Sungai Perai gagal.

“Pada masa ini, operasi pelan A iaitu kerja-kerja mengapit semula lubang 1.15 m x 0.65 m pada bahagian saluran paip bawah air 1,350 milimeter (mm) yang bocor sedang dijalankan oleh pasukan pakar penyelam sejak malam tadi.

Pelan A untuk mengapit semula itu ialah penyelesaian sementara untuk ‘menunggu’ sehingga siap kerja-kerja persediaan di tapak untuk pengoperasian dua saluran paip 600 mm baharu bagi menggantikan saluran paip di dasar Sungai Perai terbabit,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan sambutan Thaipusam di Jalan Macalister di sini hari ini.

Kon Yeow berkata jika pelan A berjaya, 84 peratus pengguna yang terjejas bekalan air akan mula menerima semula bekalan menjelang 8 pagi Jumaat ini, manakala bakinya pada 8 pagi Sabtu.

Sekiranya pelan itu gagal, beliau berkata pelan B iaitu kerja-kerja saluran paip 600 mm baharu yang sedang dijalankan dan sepatutnya siap pada 2 Februari perlu dilaksanakan segera dan harus siap sepenuhnya pada 29 Januari ini.

“Kita hanya akan mengetahui sama ada pelan A itu berjaya atau tidak pada 4 petang esok, jika masih gagal membaiki kebocoran paip yang berlaku semalam, PBAPP akan meneruskan pelan B dan pengguna akan mengalami gangguan air selama tujuh hari iaitu hingga Rabu depan (31 Jan) sebelum terima bekalan air bermula 1 Februari (Khamis),” katanya.

Kon Yeow berkata setelah pelan B siap, tiada lagi risiko atau ancaman kepada perkhidmatan bekalan air di daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan berkaitan Sungai Perai.

Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai semalam merupakan kali ketiga berlaku selepas dua kejadian paip bocor dilaporkan pada Disember tahun lepas dan 12 Januari.

Related posts

Leave a Comment