Kenaikan tarif baharu tidak lebih 20 sen

MARANG 21 Jan. – Kenaikan tarif air baharu untuk pengguna domestik di Terengganu tidak akan melebihi 20 sen bagi penggunaan hingga 20 meter padu (m³), kata Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata kenaikan tarif air selepas lebih 20 tahun tidak berlaku kenaikan itu juga akan memberi situasi “menang-menang” untuk syarikat pengendali air dan pengguna di negeri ini.

“Jadi sedikit sebanyak ia boleh membantu syarikat-syarikat air untuk menyediakan keperluan yang lebih baik kepada pengguna, penggantian paip dan sebagainya.

“Jadi ‘is a win win’ (situasi menang-menang) untuk syarikat air dan juga kepada pengguna supaya perkhidmatan itu menjadi lebih baik,” katanya selepas Majlis Penyerahan Notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Kediaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang hari ini.

Pada majlis itu, seramai 350 orang menerima notis borang 5A bagi tapak kediaman di DUN Rhu Rendang.

Ahmad Samsuri berkata, sebanyak 73.8 peratus pengguna domestik yang secara purata menggunakan hingga 40 meter padu air sebulan hanya akan mengalami kenaikan purata antara RM1.80 hingga RM7.16 sebulan mengikut jumlah penggunaan susulan kenaikan tarif air bermula 1 Februari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian subsidi dan inisiatif kepada pengguna domestik seperti disarankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)ketika mengumumkan pelarasan tarif air baharu itu pada Rabu lalu.

“Bantuan atau inisiatif yang diberikan oleh operator bekalan air negeri iaitu Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) kepada pengguna domestik ketika ini adalah pemberian subsidi 20 meter padu kepada pengguna golongan B40.

“Pemberian subsidi ini membabitkan 11,832 akaun dengan kos tanggungan sebanyak RM1,176,180 setahun,” katanya.

Terengganu merekodkan tarif air antara terendah berbanding negeri lain dengan kadar 42 sen bagi setiap 0 sehingga 20 m³ bagi penggunaan domestik.

Related posts

Leave a Comment